Isinya tak penting sangat. Sebab isinya pelbagai. Penutup dia yang paling penting sebenarnya. Penutup yang bakal menentukan hala tuju isi perbualan tersebut sama ada boleh di bawa ke tengah atau tak, pecah perut, menyirap, tangan naik atau rasa nak gelak ke tak nak. Kadang-kadang penutup ni yang boleh tentukan seseorang tu lambat siang ke tak. Perbualan tanpa penutup ibarat pohon yang tidak berbuah.
Sama seperti isi, penutup juga memerlukan pertimbangan dari sudut masa, tempat, hati dan juga perasaan. Sama ada masuk ke tak benda yang kita bualkan tu. Disinilah kebijaksanaan akal manusia diperlukan dalam bertolak ansur dengan keadaan sekeliling. Silap berbual, kadang-kadang tu boleh sampai ke tahap balik ke rumah selsema sambil mata lebam-lebam. Ada kes yang balik rumah sampai mengigau-ngigau pasal benda yang dibualkan. Dalam mempertimbangkan apa yang bakal kita cakapkan, keadaan sekeliling sikitpun tak boleh di ambil mudah.
Contohnya seperti ada satu tengahari tu, aku dah lewat untuk ke pejabat. Masuk pejabat sepatutnya dalam pukul 10 pagi, pukul 12 suku aku masih terhegeh-hegeh gosok gigi dekat rumah. Celaka betul. Ini semua berpunca dari penggera telefon bimbit yang tidak berfungsi. Benda ni bukan baru sekali jadi macam ni, tapi dah berpuluh kali. Kadang-kadang sampai tahap menyirap tu rasa macam nak beli iPhone 4s je. Tapi memandangkan gaji bulanan aku bukan 8 ribu sebulan, aku terpaksa pendam perasaan tu jauh di lubuk hati.
Dalam pada aku bersiap tu, rumah tumpangan yang aku menginap didatangi oleh seseorang. Terganggu sekejap pemakaian seluar aku bila terdengar pintu grill rumah tumpanganku bergegar bagai nak kiamat. Potong stim betul. Dalam perasaan nak tak nak, aku terpaksa juga membuka pintu rumah. Terpacul muka seorang pemuda yang menjadi kenalan teman rumahku. Lebih selesa jika aku panggil pemuda tersebut sebagai bro.
Sekilas pandang, bro ni kelihatan agak trendy. Tapi peduli apa aku dia trendy ke tak, aku dah lambat nak masuk kerja waktu tu. Aku membiarkan bro tersebut keseorangan di ruang tamu sambil aku kembali menyambung persiapan untuk pergi bekerja. Dah siap aku berpakaian, aku pun bergerak ke ruang tamu kembali. Kini, hanya tinggal stokin dan kasut je yang belum tersemat kemas pada anggota badan aku. Bro yang aku tinggalkan keseorangan di ruang tamu tersebut memerhatikan gerak geri aku dengan senyap. Rasa janggal pun ada bila sarung stokin, ada lelaki tengah usha.
Tiba masa untuk aku mencapai topi keledar, bro tersebut tiba-tiba bersuara.
“Bro, tengok MotoGP semalam?” tanya bro tu kepada aku.
“Tak tengoklah, semalam aku kerja, bro.” jawab aku ringkas. Bersahut-sahutan panggilan bro ketika itu.
“Semalam ada sorang rider mati, bro. First time kat Sepang ada orang mati.” kata bro tersebut lagi.
“Alamaaak!” kata aku dalam hati. Waktu waktu macam tu lah dia boleh rajin ajak berborak. Nak tak nak aku terpaksa layan. Tak sedap pulak rasanya kalau tiba-tiba keluar rumah sambil hempas pintu kuat-kuat.
“Itu laa, aku ada baca dekat paper pagi tadi.” balas aku sambil berlegar-legar di ruang tamu memegang topi keledar.
“Aku pergi tengok semalam, bro. Mamat tu entah macam mana nampak macam off kejap. Dah habis corner pun dia boleh senget badan lagi.. bla bla bla bla bla.. Rossi sikit lagi nak jatuh waktu tu.” jelas bro tu panjang lebar. Aku ye ke, ye ke beberapa kali.
Makin lama, boraknya makin panjang. Topi keledar yang aku pegang tu mula rasa macam nak melekat dekat muka bro tu. Ini tak boleh jadi, aku terpaksa jugak nak kena matikan perbualan tu waktu tu jugak memandangkan jam dah dekat pukul 1 setengah.
“Peliklah, bro. Macam mana dia boleh tak bangun balik lepas corner tu.” sambung bro tu lagi.
“Ahhhh, diorang tu nak kena belajar lagi bawak motor tu. Baru setahun jagung, dah nak main trek, mana boleh!” jawab aku dengan nada agak keras.
Terkebil-kebil bro tu pandang aku.
Aku pun apa lagi, berambuslah. Ingat Rossi ke yang bayar gaji aku bulan-bulan?
***
“Dalam berbual ni, kalau rasa tak masuk, baik blah je.” - Mat Zack, 2009
0 komen:
Catat Ulasan